Wednesday, 25 February 2015

CARA MEMOHON KEWARGANEGARAAN

          Semua permohonan taraf kewarganegaraan hendaklah dikemukakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Hanya mereka yang memenuhi syarat seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan (Bahagian III) yang dibenarkan memohon.
Borang permohonan boleh diperolehi dan diserahkan di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara.
Bagi permohonan di bawah Perkara 16 dan 19, pemohon disyaratkan menduduki ujian Bahasa yang dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Asas-asas pertimbangan bagi permohonan kewarganegaraan :
  • Berkelakuan baik dan tiada rekod jenayah.
  • Menetap dalam tempoh yang lama.
  • Mempunyai komitmen yang tinggi dan telah berakar umbi di negara ini.
  • Memahami bahasa, budaya dan memenuhi kehendak Negara.
  • Menyumbang kepada masyarakat dan Negara.
  • Taat dan setia kepada Negara.

PEMBATALAN KEWARGANEGARAAN ( PERKARA 24 )

Seorang warganegara juga boleh kehilangan status warganegaranya melalui pelucutan atau pembatalan oleh Kerajaan Persekutuan kepada individu terbabit.

Menurut Perkara 24 dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang warganegara itu akan dilucutkan status warganegaranya apabila individu tersebut memperoleh atau menggunakan status kewarganegaraan negara lain. Kerajaan Persekutuan boleh melucutkan status warganegara seseorang itu dengan perintah apabila : 

  • Kerajaan Persekutuan mengenal pasti dan berpuas hati bahawa seseorang warganegara terbabit telah memperoleh kewarganegaraan di mana-mana negara luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain ( selain daripada perkhawinan )

  • Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa seorang perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan oleh sebab perkahwinannya dengan seseorang yang bukan warganegara,.

  • Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa seseorang warganegara telah menuntut dan menggunakan ( dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan) , apa-apa hak yang terdapat untuknya tertakluk kepada undang-undang negara itu, iaitu hak khas yang diberikan kepada warganegara negara itu.

Dalam hal ini, hak yang terbabit merupakan hak mengundi yang melibatkan politik di dalam negara itu yang digunakan individu terbabit secara sukarela. Hal ini akan disifatkan sebagai penuntutan dan penggunaan hak di bawah undang-undang sesuatu tempat itu di luar Persekutuan. Selain itu apabila individu terbabit telah :


  1.  memohon kepada pihak berkuasa sesuatu tempat di luar Persekutuan supaya pasport dikeluarkan atau dibaharui; atau 
  2. menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sebagai dokumen perjalanan,
juga akan disifatkan dengan sukarela menuntut dan menggunakan suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu, iaitu suatu hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara tempat itu.

PEMBATALAN KEWARGANEGARAAN ( PERKARA 25 )

Seseorang warganegara juga boleh dilucutkan kewarganegaraannya seperti yang terkandung dalam Perkara 25 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perkara 25 menyatakan bahawa seorang warganegara itu boleh dilucutkan status kewarganegaraannya dengan perintah melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau melalui penaturalisasian apabila Kerajaan Persekutuan berpuas hati : 



  • Individu terbabit telah menunjukkan dirinya tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan melalui perbuatan atau percakapannya sendiri.

  • Individu terbabit telah menyalahi undang-undang berdagang dengan atau menghubungi musuh atau melibatkan diri atau menjadi sekutu dalam apa-apa perniagaan yang pada pengetahuannya telah dijalankan mengikut apa-apa cara sehingga dapat membantu musuh semasa peperangan yang melibatkan Persekutuan. 
  • Individu terbabit, dalam tempoh 5 tahun mulai dari tarikh pendaftaran atau dari tarikh perakuan diberikan, telah dihukum penjara di mana-mana negara luar Persekutuan selama trmpoh tidak kurang daripada 12 bulan atau denda tidak kurang daripada RM 5,000 atau yang senilai dengannya mengikut mata wang negara yang terbabit, dan tidak mendapat pengampunan bebas berkenaan kesalahan yang kerananya dia telah dihukum sedemikian.


Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan seseorang individu yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa individu terbabit, tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan :
  • Melaksanakan apa-apa jawatan atau perjawatan atau pekerjaan
dibawah kerajaan, politik atau agensi kerajaan negara yang terbabit di luar Pesekutuan dalam apa-apa hal jika proses angkat sumpah, ikrar atau akuan setia harus dilakukan berkenaan jawatan, perjawatan atau pekerjaan itu. Walaubagaimanapun individu yang terlibat itu tidak boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah syarat ini disebabkan sesuatu yang dilakukannya sebelum permulaan bulan Oktober 1962, berhubung dengan suatu negara asing, dan sebelum permulaan bulan Januari 1977, berhubung dengan suatu negara Komanwel, walaupun pada masa itu dia telah menjadi seorang warganegara.



        Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraanseseorang individu yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa individu terbabit telah bermastautin di negara lain di luar Persekutuan selama 5 Tahun secara berterusan dan individu terbabit :

  • Tidak pernah pada bila-bila masa terbabit dalam perkhidmatan Persekutuan atau dalam perkhidmatan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Kerajaan Persekutuan

  • Tidak mendaftarkan diri pada setiap tahun di Konsulat Persekutuan niatnya ingin mengekalkan kewarganegaraannya.
Walaubagaimanapun, syarat ini tidak terpakai bagi apa-apa tempoh kemastautinan di mana-mana negara Komanwel sebelum permulaan bulan Januari 1977.

PEMBATALAN KEWARGANEGARAAN ( PERKARA 26 )

     Status kewarganegaraan seorang individu juga boleh dilucutkan mengikut Perkara 26. di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan boleh  melucutkan kewarganegaraan seorang warganegara yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian melalui perintah jika berpuas hati bahawa pendaftaran atau perakuan 
naturalisasi itu :

  1. Telah didapati dengan cara penipuan, penyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material
  2. Telah dibuat atau diberikan dengan silap




Kerajaan Persekutuan juga boleh melucutkan kewarganegaraan seorang perempuan, dengan perintah, yang menjadi warganegara melalui pendaftaran berkaitan Fasal (1) Perkara 15 di dalam Perlembagaan Persekutuan jika berpuas hati bahawa perkhawinan  yang disebabkan olehnya, perempuan itu didaftarkan telah dibubarkan, melainkan disebabkan oleh kematian, dalam tempoh 2 tahun mulai tarikh perkhawinan itu.

PEMBATALAN KEWARGANEGARAAN ( PERKARA 26A )

       Menurut Perkara 26A. di dalam Perlembagaan Persekutuan, apabila seorang individu itu telah melepaskan atau telah dilucutkan status kewarganegaraannya, maka Kerajaan Persekutuan boleh melucutkan Kewarganegaraan dengan perintah mana-mana anak individu terbabit yang di bawah umur 21 Tahun yang telah didaftarkan sebagai warganegara menurut Perlembagaan ini dan juga telah didaftarkan sebagai anak individu terbabit.